Biro Mahasiswa AMK tawar hapus PTPTN

SHAH ALAM - Biro Mahasiswa Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia berjanji kepada seluruh mahasiswa untuk menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) jika berjaya menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum (PRU)Ke-13 nanti.

Pengarah Bironya, Mohd Saifullah Mohd Zulkifli berkata, ini merupakan salah satu usaha merubah sistem pembiayaan pengajian tinggi kerana sistem yang sedia ada adalah tidak sesuai dan perlu diganti segera.

Katanya, PTPTN merupakan badan berkanun yang terpaksa mencari sumber lain untuk bertahan sedangkan, ia tidak sewajarnya mengenakan faedah kepada peminjamnya seperti yang dibuat oleh bank.

“PTPTN sepatutnya memberikan fasiliti pendidikan terbaik kepada mahasiswa dan bukannya membebankan mahasiswa, sebaliknya ia menjadi kepada sistem yang diwujudkan di mana sistem ini.”

“Sekiranya berjaya memegang tampuk kuasa kelak, kami akan melihat kembali kaedah pembiayaan kembali pinjaman di mana mahasiswa hanya akan diwajibkan membayar balik pinjaman selepas enam bulan bekerja tetap,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau menambah, apa yang berlaku sekarang, pelajar perlu membuat bayaran balik selepas enam bulan tamat pengajian.

Dalam pada itu, pihaknya juga akan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan akta-akta lain yang menyekat mahasiswa.

“Pakatan Rakyat melalui muafakat Buku Jingga dan AMK Malaysia melalui Dokumen Harapan Baru Mahasiswa Malaysia meletakkan komitmen untuk memberi ruang kepada mahasiswa di dalam membina negara bangsa,” katanya.